ULASAN BUKU
Judul buku: Developing Effective Assessment in Higher Education - A Practical Guide
Pengarang: Sue Bloxham dan Pete Boyd
Penerbit: Mc Graw Hill, Open University Press
Tahun terbit: 2007
Muka surat: 260 halaman
Buku Developing Effective Assessment in Higher Education - A Practical Guide oleh Sue Bloxham dan Pete Boyd adalah sebuah buku yang membincangkan panduan dalam aspek penilaian di peringkat pengajian tinggi.
PART 1: INTRODUCTION AND CONTEXT
Chapter 1: Introduction
Dalam bab ini penulis menerangkan secara keseluruhan isi kandungan dan struktur buku ini. Secara umumnya buku ini dibahagikan kepada tiga bahagian utama. Bahagian I meringkaskan kajian tentang hubungan antara penilaian dan pembelajaran dan meninjau secara kritikal berkaitan kesukaran dalam menyesuaikan diri dengan pelbagai prinsip yang mendasari penilaian yang mempunyai pelbagai tujuan yang berbeza.
Bahagian 2 pula fokus kepada perkara sehari-hari yang berkaitan dengan penilaian, termasuk pengiktirafan terhadap penekanan penilaian dan maklum balas yang menggalakkan pembelajaran (QAA 2006c) dan bekerja bagi memenuhi kehendak dan keperluan pelajar yang pelbagai, termasuk pelajar kurang upaya.
Bahagian 3 pula fokus kepada peringkat reka bentuk dalam kitaran penilaian. Bahagian ini menekankan kepentingan menggunakan pendekatan di peringkat program bagi membangunkan sesebuah penilaian. Ini adalah bagi memastikan keseimbangan dalam praktikalnya. Bahagian ini juga menyediakan idea bagi meluaskan kaedah penilaian bagi memenuhi pelbagai tujuannya, termasuk penilaian secara atas talian. Akhir sekali, penulis membincangkan isu-isu dan amalan baik bagi membentuk sebuah pasukan pendidik dalam aspek penilaian. Satu ciri yang sangat bagus ialah, di akhir bab ini, penulis menyenaraikan beberapa terminologi yang digunakan dalam bab tersebut. Ini memudahkan lagi pemahaman pembaca terhadap bahan perbincangan penulis dan dapat mengelakkan kekeliruan pembaca.
Chapter 2: The evidence base for assessment practice in higher education
Menurut penulis, tujuan penilaian boleh dikategorikan kepada tiga iaitu, penilaian pembelajaran (assessment of learning), penilaian untuk pembelajaran (assessment for learning) dan penilaian sebagai pembelajaran (assessment as learning) (Earl, 2003).
Penilaian pembelajaran mencirikan bagaimana kita mungkin melihat secara tradisional aspek penilaian. Ia termasuk membuat penilaian tentang pencapaian keseluruhan pelajar untuk tujuan pemilihan dan penganugerahan sijil. Contoh lain ialah dalam menetapkan ranking universiti, bilangan penganugerahan ijazah cemerlang akan diambil kira.
Penilaian untuk pembelajaran adalah berbentuk formatif dan diagnostik. Ia menyediakan maklumat berkaitan pencapaian pelajar dan ini akan membenarkan proses pengajaran dan aktiviti pembelajaran diubah mengikut keperluan pelajar serta maklum balas juga diperoleh sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran.
Akhir sekali, penilaian sebagai pembelajaran boleh didefinisikan dalam dua cara. Pertama, semasa pelajar menyelesaikan semua tugasan dan mengulangkaji pelajaran. Secara tidak langsung, para pelajar dapat belajar. Kedua, penilaian sebagai pembelajaran adalah sebahagian daripada penilaian untuk pembelajaran dan melihat penglibatan pelajar dalam penilaian, menggunakan maklum balas, mengambil bahagian dalam penilaian rakan sebaya, dan sebagai refleksi kendiri dalam pembelajaran (Black & William, 1998).
Secara keseluruhannya, dalam bab ini penulis cuba untuk meringkaskan / highlight beberapa perkara yang perlu dalam meningkatkan amalan dalam kajian penilaian. Antaranya ialah, penilaian sangat mempengaruhi pembelajaran pelajar, termasuk apa yang mereka pelajari, bila mereka belajar, berapa banyak kerja yang mereka lakukan, dan pendekatan yang mereka gunakan dalam pembelajaran. Kedua, jenis penilaian mempengaruhi kualiti dan jumlah pembelajaran yang dicapai oleh para pelajar. Ketiga, penilaian yang tidak direka bentuk dengan baik boleh membawa kepada pembentukan pemahaman konseptual pelajar yang terhad, walau bagaimanapun, keterbatasan alat dan proses penilaian mungkin dapat menyembunyikan kegagalan ini. Keempat, penilaian yang direka dengan baik dapat memotivasikan pelajar. Kelima, pengalaman terdahulu pelajar terhadap pembelajaran dan persepsi penilaian mungkin akan mengatasi percubaan yang dibuat oleh pensyarah bagi mengubah pendekatan mereka terhadap pembelajaran, dan mereka seharusnya dibantu bagi mendapatkan pemahaman yang lebih baik terhadap tugasan-tugasan penilaian. Keenam, maklum balas adalah aspek yang terpenting dalam proses penilaian untuk meningkatkan pencapaian. Terakhir sekali, penilaian kendiri dan rakan sebaya adalah elemen yang penting dalam membantu para pelajar untuk belajar daripada penilaian mereka sendiri dan menjadi pelajar yang lebih bebas.
Chapter 3: The conflicting purposes of assessment
Dalam bab ini, penulis membincangkan pertikaian dalam tujuan penilaian. Dalam bab sebelum ini, penulis menyatakan tiga kategori penilaian, namun dalam bab ini, penulis turut menyenaraikan empat tujuan penilaian berdasarkan kajian-kajian kes yang ditemuinya iaitu: Pertamanya, pensijilan menekankan kesahihan, kebolehpercayaan, kesamarataan dan sumbangan. Kedua, pembelajaran pelajar menekankan kesahihan, keberkesanan, praktikal, kesamarataan dan beberapa aspek kejelasan. Ketiga adalah jaminan kualiti memerlukan kesahihan, kebolehpercayaan, kejelasan, kesamarataan, perbandingan dan kekonsistenan. Akhir sekali ialah pembelajaran sepanjang hayat. Dalam aspek pembelajaran sepanjang hayat ini, ia menekankan kesahihan, keberkesanan, kesamarataan dan elemen kejelasan.
Dalam keempat-empat aspek ini, kesahihan merujuk kepada tugas menilai dilakukan mengikut hasil pembelajaran yang telah dinyatakan. Daripada segi kebolehpercayaan, tugas menilai seharusnya menghasilkan markah yang boleh dibanding merentasi masa, pemeriksa dan kaedah menilai. Dalam aspek keberkesanan, tugas menilai perlu direka bentuk untuk menggalakkan kualiti yang baik dan pendekatan yang mendalam terhadap pembelajaran dalam kalangan pelajar. Daripada segi kesamarataan, para pelajar mempunyai peluang yang sama untuk mempersembahkan pembelajaran mereka dengan berkesan. Selain itu, bagi aspek praktikal, tugas menilai seharusnya praktikal bagi kedua-dua staf dan pelajar dalam bentuk masa yang diperlukan untuk menamatkan penilaian dan pemeriksaan. Kejelasan bermaksud maklumat, panduan, terma dan syarat penilaian perlu jelas, tepat, konsisten, dan boleh diguna pakai oleh semua staf, pelajar, guru pelatih dan pemeriksa luar. Akhir sekali ialah berkaitan sumbangan. Tugasan yang diberi perlu menghasilkan bukti yang hasil kerja tersebut dihasilkan oleh calon itu sendiri.
PART 2: DEALING WITH ASSESSMENT
Chapter 4: Teaching a module: maximising the potential of assessment
Bab ini cuba meringkaskan cara seseorang tutor boleh mengawal proses penilaian dalam modul yang mereka ajar dan menggunakan penilaian tersebut untuk meningkatkan pengalaman pelajar dan kepuasan mereka sendiri dengan tugasan tersebut. Dalam membuat penilaian, kita perlu mengambil kira maklumat asas penilaian, tugasan, peperiksaan dan kriteria penilaian. Dalam bab ini juga, penulis memberi beberapa nasihat bagaimana menggunakan tugasan berkumpulan, penilaian kendiri dan rakan sebaya, dan mereka bentuk penilaian bagi mengelakkan plagiat.
Dalam pendidikan komputer sendiri misalnya, proforma atau panduan modul seharusnya menyediakan pelajar dengan senarai tugasan dan peperiksaan untuk modul tersebut termasuk hasil akhir pembelajaran yang ditunjukkan oleh komponen penilaian yang berbeza. Selain itu, ia juga harus mengandungi kriteria penilaian dan / atau skema pemarkahan, tempoh untuk menyiapkan tugasan dan prosedur bagi menghantar tugasan serta bila dan bagaimana tarikh peperiksaan akan diumumkan. Itu adalah di antara contoh yang saya boleh kaitkan dalam pendidikan komputer yang cuba disampaikan oleh penulis dalam bab ini.
Chapter 5: Preparing students for assessment
Bab ini mengkaji apakah yang terlibat bagi seseorang pelajar untuk mahir dalam bidang akademik. Penulis menekankan perlunya untuk menyediakan panduan tugasan yang jelas untuk pelajar. Selain itu, para pelajar bersama-sama rakan sebaya mereka dan tutor perlu terikat dengan perbincangan dan latihan praktikal yang melibatkan keperluan penilaian bagi memastikan pengetahuan dapat dikongsi bersama. Persediaan terhadap penilaian dilihat sebagai sebahagian daripada panduan dan ulangan maklum balas di mana sesebuah program perlu membinanya untuk para pelajar. Dalam bab ini juga penulis berpendapat bahawa masa yang dihabiskan dalam mempersiapkan pelajar untuk penilaian adalah waktu yang baik yang dilaburkan sama ada dari segi kawalan ke atas tugasan mereka serta prestasi akhir mereka.
Antara contoh panduan penyediaan pelajar terhadap penilaian yang boleh diaplikasikan dalam pendidikan komputer ialah, menyediakan panduan awal tentang hasil yang dijangka dan keperluan kursus, memberi maklum balas atau komen terhadap setiap tugasan, menerangkan ‘terms’ yang sukar yang digunakan sepanjang kursus, mencadangkan kaedah / pendekatan yang sesuai dalam melaksanakan tugasan / projek, menyediakan panduan, contoh-contoh tugasan dan model jawapan serta teknik mengulangkaji dan menjawab peperiksaan.
Chapter 6: Marking
Bab ini meringkaskan beberapa isu yang memberi kesan kepada ketepatan dalam menanda di peringkat institusi pengajian tinggi dan penulis turut berusaha untuk menyediakan beberapa cadangan yang praktikal bagi tujuan penambahbaikan. Proses menanda / menyemak adalah sukar di mana tugas penilaian akan menggambarkan pembelajaran yang kompleks. Dalam bab ini juga, penulis memberi beberapa contoh skema pemarkahan dan kerangka skema pemarkahan bagi menilai sesuatu tugasan sama ada untuk tugasan individu mahupun secara berkumpulan.
Chapter 7: Providing effective feedback
Dalam pengenalan bab ini, penulis menyatakan kepentingan maklum balas dalam pembelajaran dan potensi penilaian formatif dalam meningkatkan amalan pedagogi (Yorke, 2003) menyediakan satu pernyataan yang kukuh bahawa semua aktiviti penilaian di univesiti perlu bertujuan untuk menghasilkan maklum balas yang berkesan untuk para pelajar. Walau bagaimanapun, maklum balas dipertikaikan sebagai satu aspek yang paling penting dalam proses penilaian dalam meningkatkan pencapaian (Black & William 1998a; Gibbs & Simpson 2004-5) kerana masih terdapat banyak kesukaran dalam amalan semasa.
Bab ini menyenaraikan aspek yang penting dalam kajian dan amalan dalam memberi maklum balas. Berdasarkan aspek ini, penulis menyediakan beberapa nasihat dan cadangan yang berkaitan. Walau bagaimanapun menurut penulis, tutor dan kumpulan pengajar masih mempunyai tanggungjawab untuk menilai amalan mereka sendiri, termasuk perspektif para pelajarnya, dalam proses untuk menilai secara kritikal dan membina proses-proses maklum balas yang berkesan dalam konteks lingkungan mereka sendiri.
Chapter 8: Moderation: towards greater consistency in marking
Dalam bab ini penulis mendefinisikan kesederhanaan (moderation) sebagai proses bagi memastikan gred yang diberi adalah adil dan boleh dipercayai dan kriteria pemarkahan tersebut telah diaplikasikan secara konsisten. Menurut penulis, proses kesederhanaan mempunyai potensi peluang pembangunan profesional yang positif bagi tutor dan pihak penanda yang lain dengan cara memudahkan pemahaman terhadap piawaian dan perdebatan tentang amalan penilaian.
Chapter 9: Managing assessment in different roles
Dalam bab kesembilan ini, penulis highlight beberapa prosedur yang termasuk dalam sistem penilaian seperti yang disenaraikan oleh Crook et al. 2006. Antaranya ialah; memutuskan matlamat dan hasil pembelajaran, menentukan penilaian dan kriteria penilaian, menyediakan tugasan kursus dan peperiksaan, menyediakan maklumat kepada para pelajar, cara menghantar tugasan dan menduduki peperiksaan, pengaturan masa dan penerimaan maklum balas, medium menyampaikan keputusan pelajar dan sebagainya.
Bab ini telah menggariskan skop tanggungjawab yang meliputi tugasan yang menyokong semua tujuan penilaian. Maklumat disediakan berdasarkan peranan tugas (tutor, ketua modul, ketua program, & ketua jabatan), yang termasuk tanggungjawab yang berkaitan jaminan kualiti, penghargaan kepada pelajar, meningkatkan pembelajaran pelajar dan pembelajaran sepanjang hayat. Secara keseluruhannya, dalam bab ini, penulis cuba untuk mencetuskan pemikiran / menggalakkan kita untuk berfikir tentang peranan dan tanggungjawab kita dalam konteks tertentu berbanding menyediakan templat / kerangka sedia ada bagi pengurusan penilaian.
Chapter 10: Supporting widening participation through assessment
Dalam bab ke-10 pula, penulis mempertimbangkan isu-isu penilaian melalui perspektif penyertaan pelbagai pelajar di institusi pengajian tinggi. Penulis telah mengkaji bagaimana prinsip kesamarataan peluang perlu diaplikasikan dalam proses penilaian berhubung isu pelajar kurang upaya dan kepelbagaian bangsa pelajar. Dalam bab ini juga, pelbagai idea yang praktikal dan strategi dikemukakan bagi berhadapan dengan peningkatan jumlah pelajar yang masih kurang pengalaman dalam sistem pendidikan di institusi pengajian tinggi. Bab ini juga menekankan kepada kepentingan maklumat penilaian yang jelas dan berkala, persediaan rapi dan sokongan para pelajar serta perhatian kepada reka bentuk penilaian.
PART 3: DEVELOPING ASSESSMENT
Chapter 11: Planning a programme assessment strategy
Dalam bab ini, penulis menerangkan enam langkah dalam strategi penilaian program yang berkesan iaitu langkah pertama, membangunkan hasil pembelajaran program tersebut yang meliputi pengetahuan dan pemahaman, kemahiran intelektual seperti analisis, sintesis, pentaksiran, dan penyelesaian masalah, serta kemahiran praktikal. Langkah kedua ialah memetakan hasil pembelajaran dengan program. Ini bagi memastikan semua hasil pembelajaran yang diharapkan akan dinilai (Rust, 2002). Langkah ketiga ialah membuat penilaian sesuai dengan tujuan / matlamat. Contohnya, semua tugasan dan peperiksaan perlu direka bentuk sesuai dengan matlamat pembelajaran sesuatu kursus tersebut, dan ia seharusnya perlu menjadi penunjuk kepada pencapaian pelajar terhadap matlamat pembelajaran tersebut, dan secara tidak langsung akan menggalakkan para pelajar untuk berusaha memenuhi matlamat pembelajaran kursus tersebut. Langkah keempat ialah menyediakan pelajar bagi perkembangan / kemajuan. Sebagai contoh, jika kita menekankan untuk menghasilkan pelajar yang bebas dan belajar sepanjang hayat di akhir program, penilaian kita seharusnya melibatkan pentaksiran secara berperingkat / secara progresif terhadap kemampuan pelajar untuk belajar secara bebas / tidak bergantung kepada yang lain. Langkah kelima ialah menyesuaikan penilaian dengan aktiviti pembelajaran. Dalam mengajar pengaturcaraan komputer contohnya, kita mungkin mahu mengajar sesuatu modul menggunakan kaedah pembelajaran penyelesaian masalah, jadi di sini, kaedah penyelesaian masalah dapat menggalakkan pelajar bertindak aktif dalam membina pembelajaran mereka sendiri. Langkah terakhir ialah mengenalpasti halangan dalam penilaian seperti peraturan dan syarat institusi, bebanan penilaian dan penjadualan, bebanan kerja staf itu sendiri, keperluan bagi melepasi keperluan penilaian modul dan melibatkan para pelajar. Di akhir bab, penulis merumuskan bahawa peranan koordinator program dalam meningkatkan penilaian tidak berakhir apabila program tersebut berakhir, tetapi mereka perlu sentiasa memperbaiki strategi penilaian tersebut agar dapat meningkatkan pembelajaran pelajar dan paling penting ia adalah suatu proses yang berulang-ulang.
Chapter 12: Planning the assessment for a module
Bab ini memberi nasihat berkaitan aktiviti yang penting dalam merancang penilaian bagi sesuatu modul. Bab ini juga membincangkan pelbagai persoalan yang selalu dihadapi oleh pereka modul seperti jenis penilaian, penilaian formatif atau sumatif, pemberat tugasan dan pencegahan plagiat. Pembuat modul juga perlu mempertimbangkan peringkat dan perkembangan pelajar. Bab ini juga menekankan keperluan dalam menyediakan idea yang teratur dan jelas tentang sesuatu modul dalam sesuatu program dan memenuhi tuntutan institusi, justeru ia dapat menyumbang kepada pengalaman pelajar yang baik.
Chapter 13: Diversifying assessment methods
Bab ini menekankan kepelbagaian kaedah penilaian. Bab ini menerangkan enam cabaran dalam mempelbagaikan kaedah penilaian. Cabaran pertama ialah membina keaslian iaitu penilaian yang dapat menggambarkan bagaimana pengetahuan dan kemahiran digunakan dalam konteks dunia realiti. Cabaran kedua ialah menilai kemahiran. Penilai perlu memastikan bahawa pelajar bukan sahaja mempunyai pengetahuan, tetapi boleh mengaplikasikan apa yang dipelajarinya. Cabaran ketiga ialah, meningkatkan kesahihan peperiksaan. Peperiksaan boleh dibuat dalam bentuk open-book, di mana dapat mengurangkan beban mengingat pelajar dan kita juga dapat menguji soalan yang lebih sukar yang memerlukan kemahiran pemikiran aras tinggi seperti penyelesaian masalah, pentafsiran, penghargaan, aplikasi dan pentaksiran kritikal. Selain itu, boleh juga diadakan pre-release case study examination di mana pelajar diberi soalan dua minggu lebih awal dari tarikh peperiksaan. Mereka boleh menyediakan bahan lebih awal dan menghantar hasil tugasan mereka pada hari peperiksaan. Cabaran keempat ialah penilaian yang menyokong pembelajaran. Menurut penulis sesetengah kaedah pembelajaran tidak dapat menyokong pembelajaran pelajar sepenuhnya. Sebagai contoh, dalam soalan multiple choice, biasanya jawapan akan diperiksa oleh komputer kerana ia menyediakan cara yang mudah bagi memeriksa jawapan pelajar yang ramai. Namun, kaedah ini tidak dapat menyokong pembelajaran yang mendalam kerana, tiada maklum balas yang diperoleh oleh pelajar. Sebagai contoh, jawapan yang dijawab dengan betul oleh pelajar tidak dapat menggambarkan yang mereka benar-benar tahu dan yakin dengan jawapan tersebut tetapi mereka mungkin hanya mengagak jawapan tersebut dan kebetulan jawapan tersebut betul. Cabaran kelima ialah menghubungkan penilaian formatif dan sumatif iaitu bagaimana pelajar menghasilkan tugasan-tugasan secara berterusan bagi menghasilkan tugasan akhir yang lengkap. Cabaran keenam ialah dalam mencari kaedah yang berkesan dan menjimatkan tanpa membawa kesan / akibat negatif kepada pembelajaran pelajar.
Chapter 14: Computer-aided assessment
Dalam bab ini penulis membincangkan konsep persekitaran pembelajaran maya (VLE) dan penulis memberi beberapa contoh VLE tersebut antaranya Blackboard, WebCT, dan Moodle. Selain itu, penulis juga membincangkan kebaikan penilaian berbantukan komputer. Antaranya ialah dapat meningkatkan pembelajaran dan motivasi pelajar, menjimatkan masa kerana pemarkahan dapat dibuat secara automated dan lebih tepat. Penilaian berbantukan komputer juga membenarkan kita menumpukan kepada reka bentuk penilaian berbanding membuat penilaian / menanda tugasan. Penilaian berbantukan komputer juga dapat menghasilkan statistik penilaian serta dapat memberi maklumat berkaitan kemajuan dan pencapaian pelajar. Penulis turut membincangkan secara ringkas cabaran dalam melaksanakan penilaian berbantukan komputer seperti kemahiran ICT pelajar, sokongan dan nasihat teknikal serta isu keselamatan dan penipuan. Dalam pendidikan komputer sendiri, guru-guru boleh menggunakan pelbagai medium pembelajaran maya seperti emel, yahoo groups, blog, laman sosial seperti Facebook, MySpace, Twitter, dan portal pembelajaran bagi menggalakkan kaedah pembelajaran secara atas talian di kalangan pelajar.
Chapter 15: Professional development and assessment
Bab ini fokus kepada pembangunan dan pembelajaran secara profesional terhadap penilaian. Ia turut membincangkan beberapa teori dan strategi praktikal bertujuan untuk memahamkan pembaca bagaimana ahli akademik dan kumpulan pendidik yang lain belajar mereka bentuk, menyampaikan dan mentaksir penilaian sebagai elemen utama dalam amalan praktikal mereka.
Secara keseluruhannya, buku ini dapat memberi panduan kepada pembaca berkaitan mereka bentuk, mentaksir penilaian dan kaedah-kaedah penilaian yang boleh diaplikasikan dalam penilaian. Penulis sangat menekankan bahawa penilaian perlu menjadi suatu kaedah bagi menggalakkan pembelajaran di kalangan pelajar. Namun begitu, dalam melaksanakan penilaian ini, para pembaca sendiri perlu juga mempertimbangkan isu-isu dan cabaran yang perlu dihadapi dalam melaksanakan pelbagai kaedah penilaian. Di akhir buku, penulis turut menyediakan glosari perkataan-perkataan yang disusun mengikut abjad dan digunakan dalam perbincangan buku ini. Penulis juga menyediakan senarai rujukan sebagai maklumat tambahan kepada pembaca jika mereka ingin mendapatkan maklumat yang lebih lanjut berkaitan penilaian. Indeks yang disediakan di helaian akhir buku ini dapat memudahkan para pembaca mencari maklumat yang dikehendaki dalam buku ini dengan segera.